Khabar Duka, Jenazah Lima Sekeluarga Dikebumikan Dalam Satu Liang Hari Ini. Al Fatihah

Khabar Duka, Jenazah Lima Sekeluarga Dikebumikan Dalam Satu Liang Hari Ini. Al Fatihah 


Jenazah lima sekeluarga yang lemas ketika mandi di kawasan perkelahan Air Terjun Belukar Bukit, Hulu Terengganu pada Sabtu, selamat dikebumikan kira-kira pukul 12.30 tengah malam tadi.


Mohd. Halim Samian, 44; isteri, Nurul ‘Adilah@Salaiwati Awang, 39; dan anak-anak mereka iaitu Nurul ‘Arifah, 16; Nurul Aina, 11; dan Nurul Izah, 10, disemadikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pengkalan Arang.


Upacara pengkebumian jenazah di Tanah perkuburan Islam itu menyaksikan suasana hiba ahli keluarga lantaran tidak dapat menahan sebak akibat kehilangan orang tersayang.


Kehibaan itu turut dirasai tetamu yang mengiringi jenazah tatkala melihat anak bongsu pasangan terbabit, Mohd. Hasif, 9, yang menjadi yatim piatu sekelip mata berikutan tragedi lemas itu.


hasif

Dia kelihatan lemah dan longlai pada saat akhir menatap wajah ibu bapa dan tiga kakak kandungnya sebelum upacara pengkebumian malam tadi.


Malah, anak bongsu daripada empat beradik itu dilihat beberapa kali menunjuk ke arah keranda ibu bapa dan tiga kakaknya sambil bertanya sesuatu kepada ahli keluarganya menyebabkan orang ramai turut sebak dan menitiskan air mata.


Mohd. Hasif terselamat kerana berada di daratan ketika kejadian.


Terdahulu, kesemua jenazah disembahyangkan di Masjid Kampung Pengkalan Arang.


Abdul Halim yang berasal dari Johor bertugas sebagai naib kadi dan imam di Surau Al-Furqan, Puncak Alam, Selangor manakala isterinya merupakan anak jati Bukit Tunggal, Terengganu.


Dalam kejadian pagi semalam, dikatakan salah seorang mangsa dibawa arus ketika sedang mandi sebelum mangsa yang lain cuba menyelamatkannya.


Difahamkan ketika kejadian, hanya keluarga tersebut berada di situ dan kesemua mangsa ditemukan dalam lingkungan 50 meter di kawasan tersebut yang dipercayai pusaran air